DEFINISI QIRAAT

Dari Sudut Bahasa

Qiraat (قراءات) adalah kata jamak (plural) daripada qiraah (قراءة) yang merupakan kata terbitan (masdar) yang bermaksud  membaca  (تال)  sepertimana  yang  dijelaskan  oleh  tokoh-tokoh bahasa  arab.  Struktur  asalnya  ialah:  (وقرآان  قراءة  يقرأ  قرأ),  yang  bermaksud  membaca  dan pembacaan.

Dari Sudut Istilah

Terdapat pelbagai takrif yang dikemukakan oleh para ilmuan yang berkecimpung dalam bidang ini, antaranya ialah: Bacaan yang disandarkan kepada seseorang imam yang memilih manhaj (metode) yang tertentu serta mengaplikasikannya di dalam keseluruhan bacaan al-Quran ataupun di dalam sebahagian Farsh al-Huruf.

Ilmu yang membahaskan mengenai cara-cara sebutan kalimah dan perselisihan bacaan al- Quran dengan menyandarkan kepada imam yang memindahkannya.

Ilmu mengenai cara-cara melafazkan al-Quran serta perbezaan bacaannya, samada bacaan tersebut disepakati atau diperselisihkan kesahihannya dengan berpandukan imam-imam yang diakui sanadnya sehingga sampai kepada Rasulullah S.A.W.

Kesimpulannya, takrif ilmu qiraat ialah: Suatu ilmu untuk membaca al-Quran dengan pelbagai wajah. Bacaan tersebut bersandarkan kepada imam dan perawi yang menaqalkannya serta membincangkan riwayat bacaan tersebut.

 

 

PENGERTIAN AL-QIRAAT AL-SAB’ DAN AL-QIRAAT AL-THALATH

Al-Qiraat al-Sab’ (السبع القراءات) iaitu tujuh bacaan yang disandarkan kepada tujuh orang Imam Qiraat’. Mereka ialah: Nafi’, Ibn Kathir, Abu ‘Amr, Ibn ‘Amir, ‘Asim, Hamzah dan al- Kisaiy.

Al-Qiraat al-Thalath (الثالث القراءات) iaitu tiga bacaan pelengkap bagi bacaan-bacaan imam tujuh yang disandarkan kepada tiga Imam Qiraat. Mereka ialah: Abu Ja’far, Ya’qub dan Khalaf al-‘Ashar.

 

ISTILAH-ISTILAH PENTING DI DALAM ILMU QIRAAT

Apabila mempelajari atau membahaskan perkara yang berkaitan dengan ilmu qiraat, terdapat istilah-istilah khas yang digunakan di dalam ilmu ini. Diantaranya ialah: al- Qiraat, al- Riwāyah, al-Tāriq, al-Wajh, al-Usūl dan al-Farsh.

Al-Qiraat

Al-Qiraat ialah perbezaan bacaan yang disandarkan kepada orang yang membawanya (Imam-imam qiraat). Sebagai contoh firman Allah s.w. t:

يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَمَا يَخۡدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ

Berdasarkan daripada ayat di atas terdapat dua bentuk bacaan yang dibaca pada kalimah (يُخَٰدِعُونَ). Bentuk-bentuk bacaan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Imam yang membaca dengan membariskan depan pada huruf (ي), baris atas pada huruf (خ) dan menambahkan huruf (ا) selepasnya (يُخَٰدِعُونَ) ialah imam Nafi’, Ibn Kathir dan Abu ‘Amr.
  2. Adapun baki daripada imam-imam tersebut, mereka membaca dengan baris atas pada huruf (ي), baris mati pada huruf (خ) dan baris atas pada huruf (د)  (يُخدِعُونَ).

Al-Riwāyah

Setiap perbezaan yang dinisbahkan kepada orang yang mengambil bacaan daripada imam- imam qiraat secara terus ataupun melalui jalan perantaraan.

Sebagai contoh riwayat daripada Abū ‘Amr. Al-Dūriy mengambil bacaan dengan perantaraan Yahya al-Yāzidiy yang merupakan guru beliau dan anak murid kepada Abū ‘Amr. Walaupun beliau tidak mengambil secara terus daripada Abū ‘Amr, tetapi beliau masyhur  dengan  riwayat  Abū  ‘Amr.  Contoh  yang  lain  pula  riwayat  Qālūn  dan    Warsh daripada Imam Nāfi’  kerana kedua-dua rawi ini mengambil bacaan daripada Imam Nāfi’ secara berhadapan dengannya (talaqqi).

Al-Tariq

Setiap perbezaan bacaan yang disandarkan kepada orang yang mengambil bacaan daripada rawi dan orang-orang selepasnya. Sebagai contoh: Tariq al-Asbahāniy riwayat bagi Warsh. Contoh tersebut dilihat pada permasalahan bacaan al-Basmalah di antara dua surah. Al- Basmalah di antara dua surah dibaca dalam dua bentuk:

  • Pertama: Membaca al-Basmalah di antara dua surah

Imam-imam yang membaca al-Basmalah di antara dua surah ialah riwayat Qalun, Ibn Kathir, al-Kisaiy dan ‘Asim.

  • Kedua: Tidak membaca al-Basmalah di antara dua surah

Adapun imam-imam yang lain, mereka menyambungkan akhir surah dengan surah yang lain tanpa membaca al-Basmalah.

Berkaitan contoh di atas, dua orang perawi yang mengambil bacaan daripada Ibn Kathir sependapat dengan imamnya iaitu membaca al-Basmalah di antara dua surah. Manakala bagi Imam Nāfi’  pula, tiada pertikaian yang timbul terhadap bacaan riwayat  Qālūn serta mereka yang mengambil bacaan daripadanya. Adapun Warsh pula, pertikaian mengenai bacaan al-Basmalah ini timbul kerana Tariq al-Asbahāniy sahaja yang menyatakan beliau membaca al-Basmalah di antara dua surah. Selain daripada al-Asbahāniy, mereka  mengatakan Warsh tidak membaca al-Basmalah diantara dua surah. Oleh yang demikian, inilah yang dinamakan Tariq al-Asbahāniy daripada Warsh.

Al-Wajh

Perbezaan bacaan al-Quran yang berlaku di dalam sesuatu perkataan atau ayat. Contohnya cara membaca al-Basmalah di antara dua surah. Terdapat dua bentuk bacaan di dalam konteks ini iaitu dengan cara menyambung atau berhenti. Kedua-dua cara ini diistilahkan sebagai al-Wajh. Perincian kedua-dua wajh ini pula boleh didapati dalam empat bentuk. Bentuk-bentuk ini juga dinamakan al-Wajh.

Al-Usul

Kaedah-kaedah umum di dalam al-Quran. Ianya merangkumi hukum-hukum yang berkaitan ilmu tajwid dan ilmu qiraat. Sebagai contoh bacaan hukum Mad, Silah Mim al-Jama’, Fath, Imalah dan sebagainya.

Al-Farsh

Kaedah-kaedah khusus yang terdapat pada kalimah-kalimah tertentu sahaja. Contohnya pada kalimah (ملك) di dalam surah al-Fatihah yang dibaca dengan ( ملك ) dan (مالك).

RUKUN-RUKUN QIRAAT

 Untuk mengklasifikasikan mutu sesuatu bacaan, terdapat beberapa rukun yang menjadi kayu ukur. Sesuatu qiraat itu boleh diterima dan dianggap sahih sekiranya menepati tiga rukun. Namun apabila salah satu rukun tadi terabai, qiraat tersebut akan dianggap Shadhdh, Maudu’ atau lain-lain istilah yang menggambarkannya tidak sah. Rukun-rukun tersebut telah disepakati oleh kebanyakan ulama yang muktabar dan mahir di dalam ilmu ini. Ia adalah seperti berikut:

 

Pertama: Bertepatan Dengan Kaedah Bahasa Arab

 

Qiraat tersebut mestilah qiraat yang masyhur dan boleh diterima pakai pada tahap  yang  fasih ataupun afsah, sama ada ianya mengikut kaedah yang mutlak ataupun tidak. Sekurang- kurangnya, qiraat tersebut tidak terkeluar secara amnya daripada kaedah bahasa arab yang diperakui. Sebagai contoh firman Allah s.w.t:

وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا

Dalam ayat di atas, terdapat dua bentuk bacaan yang dibuat pada kalimah (وَٱلۡأَرۡحَام) . Bentuk-bentuk bacaan tersebut adalah seperti berikut:

  • Pertama: Imam yang membaca dengan baris bawah pada huruf mim (وَٱلۡأَرۡحَام) ialah Hamzah.
  • Kedua: Selain daripada beliau, mereka membaca dengan baris atas pada huruf mim (وَٱلۡأَرۡحَامَ).

Imam   Hamzah   membaca   dengan   baris   bawah   pada   kalimah (وَٱلۡأَرۡحَامِ) kerana dicatafkan kepada ha (هـ) pada perkataan (وَٱلۡأَرۡحَامِ) yang majrur mengikut mazhab Kūfah ataupun majrur  dengan  huruf  jarr  yang  diulang  balik,  taqdirnya  (بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ).  Adapun  imam-imam selain daripada beliau,  mereka membaca  dengan baris atas kerana mengikut  (‘ataf)   kepada Lafz al-Jalalah (بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ) yang mansub.

Kedua: Bertetapan Dengan Rasm Uthmaniy

Sesuatu qiraat yang dibaca itu hendaklah bertetapan dengan salah satu mushaf yang ditulis pada zaman Saidina Uthman R.A, Sebagai contoh qiraat Ibn ‘Amir. Sepertimana firman Allah s.w.t:

وَقَالُواْ ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ وَلَدٗاۗ 3

Ibn ‘Amir membaca tanpa (3) sebelum perkataan (وَقَالُواْ). Qiraat tersebut diterima dan ianya bertetapan dengan mushaf yang dihantar oleh Saidina ‘Uthman ke Syam.

Ketiga: Sah Sanad

Rukun ketiga pula ialah sanad    yang sah. Terdapat percanggahan ulama tentang pensyaratan

mutawatir di dalam rukun ini. Ada dua pendapat mengenainya:

  • Pertama: Tidak disyaratkan mutawatir bagi keabsahan sesuatu qiraat

Pendapat ini dipelopori oleh Makkiy bin Abi Talib, Ibn al-Jazariy, Ibn Salah dan Abū Shamah. Bagi mereka, mutawatir tidak disyaratkan untuk menetapkan keabsahan sesuatu qiraat, bahkan cukup dengan sanad yang sah sahaja. Selain daripada itu, qiraat tersebut merupakan qiraat yang masyhur dan diterima oleh umat Islam.

  • Kedua: Disyaratkan mutawatir bagi keabsahan sesuatu qiraat

Jumhur qurra’ bersepakat bahawa untuk menetapkan kesahhan sesuatu qiraat, tidak cukup dengan sanad yang sah sahaja, tetapi ia mestilah qiraat yang sah lagi mutawatir. Di antara ulama yang mensyaratkan mutawatir ialah Ibn ‘Abd al-Barr, Ibn Taymiyyah, al-Nawawiy dan ramai lagi.

PEMBAHAGIAN QIRAAT

Terdapat pelbagai jenis pembahagian yang dikemukakan oleh para ulama. Namun kategori qiraat yang dikemukakan oleh Muhammad Salim Muhaysin lebih bersifat menyeluruh. Beliau telah membahagikan qiraat kepada dua bahagian utama:

Pertama: Qiraat Yang Sah

Qiraat yang sah terdiri daripada qiraat yang mutawatir dan qiraat yang mashhur. Berikut dinyatakan definisi kedua-dua jenis qiraat yang dinyatakan tadi.

  • Mutawatir (متواتر)

Qiraat yang diriwayatkan oleh sekumpulan ramai yang tidak mungkin mereka berpakat melakukan pendustaan.

Para ulama’ telah bersepakat bahawa qiraat ini merupakan qiraat yang sah dan rasmi sebagai qiraat al-Quran. Ia sah dibaca di luar dan di dalam sembahyang. Qiraat ini juga dijadikan pedoman bagi sumber penetapan hukum. Sebagai contoh firman Allah s.w.t:

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ

Di dalam ayat ini, kalimah (ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ) dibaca dengan tiga bentuk bacaan iaitu: Riwayat Qunbul dan Ruways membaca dengan huruf (س) pada kalimah (ٱلصِّرَٰطَ) menjadikan bacaan tersebut bunyinya (السراط). Imam Hamzah pula membaca dengan Ishmam dengan huruf (ز) sehingga menjadikan bacaan tersebut (الزراط). Imam-imam yang lain pula membaca dengan  huruf (ص) iaitu (ٱلصِّرَٰطَ).

  • Mashhur (مشهور)

Qiraat yang mashhur ialah qiraat yang sah sanadnya kerana rawinya adil dan kuat ingatan. Ia juga bersifat sehaluan mengikut kaedah bahasa Arab.

Menurut qurra’, bacaan ini hendaklah sesuai dengan kaedah yang terdapat di dalam rasm cUthmani samada ianya disandarkan kepada imam 7 ataupun imam 10 ataupun selain daripada imam-iman yang diterima bacaannya. Ia juga mashhur dikalangan para qurra’ serta tidak terdapat  kecacatan dan tidak tergolong di  dalam  Qiraat Shadhdhah.     Sebagai  contoh firman Allah s.w.t:

فَٱجۡعَلۡ أَفۡ‍ِٔدَةٗ مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهۡوِيٓ إِلَيۡهِمۡ وَٱرۡزُقۡهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمۡ يَشۡكُرُونَ

Berdasarkan daripada ayat di atas, terdapat dua bentuk bacaan pada kalimah ( أَفۡ‍ِٔدَةٗ ). Bentuk-bentuk bacaan tersebut adalah seperti berikut: Rawi yang membaca dengan (أَفْئِيْـدَة) ialah Hisham.  Beliau  membaca  dengan  bunyi  (ي)  yang  panjang  (mad).  Selain  daripada beliau, mereka membaca dengan (أَفۡ‍ِٔدَةٗ) iaitu tanpa huruf (ي).

Berdasarkan daripada contoh di atas, qiraat tersebut dikira sebagai qiraat yang mashhur walaupun ia dibaca oleh Hisham sahaja. Bacaan beliau tersebut hanya pada surah Ibrahim. Adapun pada surah yang lain, beliau tidak menambahkan huruf (ي) selepas huruf (ء) pada kalimah (أَفۡ‍ِٔدَةٗ). Bacaan Hisham ini merupakan riwayat al-Hulwaniy menerusi riwayat al-‘Abbas bin al-Walid al-Bairutiy daripada teman-temannya yang mengambil bacaan daripada Ibn ‘Amir.

 

Kedua: Qiraat Shadhdhah (شاذة)

Jumhur Qurra’ berpendapat bahawa harus kita mengumpulkan qiraat jenis ini, menggunakannya dalam proses pembelajaran, menjadikannya dalil di dalam perbahasan bahasa Arab, serta sebagai sokongan hukum bacaan lain yang mutawatir ketika sanadnya sah. Ulama Fiqh pula bertelingkah pendapat dalam menjadikannya sumber hukum-hakam agama. Qiraat Shadhdhah ini pada hakikatnya terbahagi kepada empat jenis iaitu:

  • 1) Al-Ahad (اآلحاد)

Qiraat yang bertepatan dengan kaedah bahasa Arab dan penulisan Rasm Uthmaniy. Ianya diriwayatkan dengan jalan perseorangan (آحاد). Qiraat tersebut tidak masyhur dan terkenal di kalangan ulama qiraat. Sebagai contoh Firman Allah s.w.t:

مُتَّكِ‍ِٔينَ عَلَىٰ رَفۡرَفٍ خُضۡرٖ وَعَبۡقَرِيٍّ حِسَانٖ

Pada ayat di atas, terdapat riwayat yang dikeluarkan oleh al-Hakim daripada cAsim al- Juhdariy daripada Abi Bakr, bahawa Nabi S.A.W. membaca ayat ini dengan:

(متكئين على رَفَارَفٍ خضر وعَبَاقِرِيٍّ حسان)

  • 2) Al-Shadhdh (الشاذ)

Qiraat yang gugur salah satu daripada tiga rukun qiraat. Sebagai contoh qiraat yang sanadnya tidak sah. Jika ianya bertepatan dengan kaedah Rasm ‘Uthmaniy dan kaedah bahasa Arab, qiraat tersebut tetap dikira sebagai qiraat yang lemah. Sebagai contoh firman Allah s.w.t:

فَٱلۡيَوۡمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنۡ خَلۡفَكَ ءَايَةٗۚ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ عَنۡ ءَايَٰتِنَا لَغَٰفِلُونَ

 

Berpandukan ayat di atas, Qiraat Ibn al-Sumayfa’ dan Abu al-Summal, mereka membaca  kalimah (نُنَجِّيكَ)  dengan  huruf  (ح) menjadi (نُنَحِّيْكَ).  Pada kalimah (خَلۡفَكَ) pula dengan membariskan atas pada huruf (ل) sehingga menjadikan bacaan tersebut (خَلَفَكَ).

  • 3) Al-Mudraj (المدرج)

Qiraat yang ditambah bagi tujuan pentafsiran. Sebagai contoh qiraat Sa’ad bin Abi Waqqas. Firman Allah s.w.t:

وَلَهُۥٓ أَخٌ أَوۡ أُخۡتٞ

Qiraat tersebut dibaca dengan menambah perkataan ( من) (أم) menjadikan ayat  tersebut dibaca dengan (أُمٍّ مِنْ  وَلَهُۥٓ أَخٌ أَوۡ أُخۡتٞ).

  • 4) Al-Mawdu’ (الموضوع)

Qiraat yang palsu seperti Qiraat al-Hasan. Sebagai contoh, qiraat yang disandarkan pada beliau bagi firman Allah s.w.t:

غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ

Qiraat tersebut dibaca dengan baris atas pada huruf (ر) lalu menjadikan ayat tersebut dibaca seperti berikut:

غَيۡرَ ٱلۡمَغۡضُوبِ